Search This Blog

Mar 21, 2010

hambik nih

Kolej Tun Razak adakan Khidmat Bakti di Kg. Sentosa, Tanjung Sedili, Johor

KOTA TINGGI 12 MAC 2010. – Seramai 76 orang mahasiswa daripada Kolej Tun Razak (KTR) telah mengikuti Program Pelajar di Luar Universiti Johor 2009/2010-Khidmat Masyarakat (PPLUJ 09/10) di Kampung Sentosa, Tanjung Sedili , Johor yang telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak dengan kerjasama Gerakan Desa Wawasan Kampung Sentosa. Program yang berbentuk khidmat masyarakat ini telah diadakan pada 12, 13 dan 14 Mac 2010 bertemakan “Mahasiswa Pemangkin Transformasi Masyarakat”. Matlamat program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai kepentingan pembangunan insan yang menyeluruh di dalam konteks kepentingan penguasaan ilmu dan pereka ciptaan teknologi baru terhadap pembangunan negara pada masa kini. Justeru itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memenuhi matlamat program antaranya Klinik Pendidikan, Ceramah Keibubapaan, Kenduri Sekampung, Sukanaeka, Khidmat Bakti “Mini Library”, Forum Perdana, Malam Kebudayaan dan Pameran Kecemerlangan UTM.

Pada 12 Mac, para mahasiswa telah menaiki 2 buah bas bergerak menuju ke Kampung Sentosa, Tanjung Sedili pada pukul 2.30 petang dan sampai ke Kampung Sentosa pada jam 5.00 petang. Kedatangan mahasiswa KTR telah disambut oleh keluarga-keluarga angkat iaitu kalangan penduduk Kampung Sentosa itu sendiri. Pada malam tersebut sebuah Forum Perdana Hal Ehwal Islam PPLUJ 09/10 bertajuk Pembangunan Sosial Mengikut Acuan Islam yang telah dihoskan oleh Yang Berbahagia Ustaz Mohd Nasir Masroom dan ahli panel jemputan terdiri daripada Ustaz Mohd Abbas Abd Latiff dan Yg Bhg Dr Yahya Jusoh. Forum diakhiri dengan bacaan selawat yang diketuai oleh Ustaz Nasir Masroom. Pada malam tersebut turut diadakan persiapan Kenduri Sekampung iaitu bergotong royong menyediakan bahan masakan bagi kenduri keesokkan harinya.

Pada pagi 13 Mac, semua mahasiswa berkumpul di balai raya dan masing- masing telah dipecahkan mengikut pembahagian tugas masing-masing antaranya, Kenduri Sekampung, Pameran Kecemerlangan, Persediaan Simenfero dan persiapan perasmian penutup program. Pameran Kecemerlangan telah disertai oleh Research Management Centre (RMC) UTM, JKM KTR, Pusat Kesihatan UTM, Chemical Engineering Pilot Plan (CEPP), dan polis dari Tanjung Sedili. Pameran daripada RMC lebih kepada mempromosikan UTM kepada orang kampung sekaligus menyuntik semangat dalam kalangan anak-anak kecil untuk menjejaki menara gading, manakala pameran daripada JKM KTR bertujuan publisiti Kolej Tun Razak kepada warga luar dan menjadi medium antara penduduk setempat untuk mengenali UTM dengan lebih terperinci lagi melalui penerangan dan pendedahan aktiviti yang telah dilakukan. Pusat Kesihatan antara pameran yang mendapat sambutan daripada penduduk kampung kerana khidmat percuma pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan oleh mereka. Antara pemeriksaan yang dijalankan secara percuma adalah pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan kandungan gula dalam darah, pemeriksaan BMI serta khidmat nasihat kesihatan. Pameran dari CEPP pula mempamerkan produk kesihatan yang ditemui oleh penyelidik-penyelidik UTM yang berasaskan tumbuh tumbuhan dan herba tani.


Pada masa yang sama, bersebelahan tapak Pameran Kecemerlangan diadakan Kursus Asas Simenfero. Jurulatih, Encik Ahmad Adin bin Marian yang mengendalikan kursus ini dijemput khas dari Pusat Kokurikulum UTM yang sememangnya pakar dalam menghasilkan simenfero, iaitu kerusi dan meja yang diperbuat daripada simen dan dicat menyerupai pohon kayu. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung Sentosa. Bahan-bahan yang diperlukan untuk kursus ini adalah cat liquor, berus cat, cable tie, 2 ela pasir, 5 beg simen dan segulung dawai segi empat bagi menghasilkan 2 set meja serta 2 buah kerusi. Oleh kerana kos bagi membiayai peralatan membuat simenfero yang agak mahal, pihak KTR dan orang kampung sama-sama mengeluarkan belanja. Kerusi dan meja Simenfero yang telah siap dipamerkan semasa Majlis Penutup pada kesokkan harinya.


Manakala bertempat di Balai Raya Kampung Sentosa, ceramah Keibubapaan yang bertajuk Kecemerlangan Ibubapa telah disampaikan oleh Mejar Kamarul Azman bin Jamaluddin yang merupakan tenaga pensyarah separuh masa di Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (FPPSM). Namun begitu, tidak ramai ibubapa yang menghadiri ceramah kerana beberapa faktor iaitu tidak ramai yang mengetahui tentang ceramah tersebut, ibubapa terlibat dengan Kenduri Sekampung, Pameran Kecemerlangan dan Kursus Asas Simenfero. Ceramah yang dijangkakan bermula pada jam 9.00 pagi ditangguh ke jam 10.30 pagi kerana kelewatan penceramah jemputan kerana masalah pengangkutan daripada pihak Harta Bina. Selepas ceramah tersebut, penceramah dijemput bersama-sama makan jamuan Kenduri Sekampung.

Pada jam 2.00 petang telah diadakan Majlis Perasmian Program Pelajar di Luar Universiti Johor 2009/2010-Khidmat Masyarakat (PPLUJ 09/10). Upacara peramian dan simbolik penyerahan anak angkat telah diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sedili iaitu Yang Behormat Tn. Hj Rasman bin Ithnain. Semua mahasiswa, ibubapa angkat dan penduduk kampung bersama-sama berhimpun bagi menyaksikan upacara tersebut. Sejurus selepas upacara perasmian, pada jam 5.00 petang telah diadakan sukaneka dan riadah. Antara aktiviti yang diadakan adalah futsal batik dan bola jaring pelikat. Para pemain futsal memakai kain batik manakala pemain bola jaring dikehendaki memakai kain pelikat. Tujuan perlawanan futsal dan bola jaring adalah untuk melahirkan kemesraan di antara peserta dan tidak bermatlamatkan kemenangan. Pihak KTR menyediakan sagu hati kepada yang terlibat dalam acara-acara pada petang tersebut. Penduduk kampung dan peserta PPLUJ 09/10 berasa gembira dan kelihtan puas dapat bersukan pada petang itu.

Pada sebelah malamnya pula diadakan Malam Kebudayaan yang diadakan berdekatan dengan gelanggang futsal Kampung Sentosa. Antara persembahan yang menarik yang diadakan pada malam itu adalah tarian zapin daripada tadika kampung tersebut, tarian 1 Malaysia yang menggabungkan tarian India, Melayu dan Cina dalam persembahan mereka dan dikir barat, persembahan band daripada Gula-gula Kapas Putih iaitu band yang ditubuhkan di KTR, serta karaoke daripada peserta program dan penduduk tempatan sendiri. Persembahan tarian telah dipersembahkan oleh KTR Culture dan peserta-peserta PPLUJ 09/10. Acara tamat pada jam 12.00 malam. Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh krew-krew persembahan kerana PA system yang digunakan tidak dapat menandingi PA system restoran berhampiran menyebabkan penonton yang duduk di bahagian belakang tidak dapat menghayati malam tersebut.

Pada 14 Mac iaitu hari terakhir kami di Kampung Sentosa, Tanjung Sedili dimulakan dengan senaman aerobik di gelanggang futsal. Instruktor yang dilantik sungguh bersemangat dan cergas menyebabkan para peserta yang mengikuti senaman tersebut mengeluarkan banyak peluh. Manakala jam 9.00 pagi bertempat di Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya (SKSSJ) diadakan Klinik Pendidikan dan ceramah motivasi. Fasilitator adalah terdiri daripada kalangan mahasiswa KTR sendiri manakala penceramah adalah Encik Mohd Fa’iz bin Ahmad yang merupakan tutor di Fakulti Pendidikan, UTM merangkap pembantu felo KTR. Seramai 40 orang murid dari SKSSJ dan 21 orang pelajar sekolah menengah berhampiran telah menghadiri klinik tersebut. Para pelajar kelihatan bersemangat dan berminat sepanjang melakukan aktiviti-aktiviti. Tambahan pula, pada bulan September akan datang mereka bakal menduduki peperiksaan UPSR. Semoga peperiksaan yang bakal diduduki dapat ditempuhi dengan kejayaan.

Manakala di tapak pameran berlansung pameran oleh JKM KTR, RMC, RELA dan Simenfero, turut dipamerkan adalah masakan dan gubahan yang dipertandingkan. Sementara itu, di balai raya diadakan pertandingan mewarna dalam kalangan kanak-kanak tadika berhampiran. Hadiah-hadiah untuk pertandinagn memasak, gubahan dan mewarna telah disampaikan semasa upacara penutup PPLUJ 09/10. Pada tengah hari pula, diadakan raptai bagi upacara penutup PPLUJ 09/10. Semua peserta terutamanya Unit Protokol amat sibuk. Upacara penutup akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tan Sri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, Ahli parlimen Kota Tinggi. Sebelum dibawa ke Pentas Utama terlebih dahulu beliau melawat “Mini Library” kampung tersebut. Perpustakaan mini tersebut telah diubahsuai dan dan ditambah baik oleh sekretariat KTR bagi kemudahan masyarakat kampung tersebut. Antara penambahbaikan yang diadakan ialah penambahan rak-rak buku, cat semula perpustakaan, sumbangan kerusi dan banyak lagi.

Kehadiran Yang Berhormat Mulia Tan Sri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar ke pentas utama telah disambut dengan paluan kompang oleh pemuda kampung dan tarian “Dia Datang” oleh KTR Culture. Kemuncak pada majlis penutup itu adalah penyerahan semula anak angkat ke kampus. Majlis yang diakhiri dengan suasana sayu kerana peserta dan keluarga angkat akan berpisah. Sebelum majlis berakhir, para peserta beramai-ramai bergambar bersama- sama dengan Yang Berhormat Mulia Tan Sri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar. Peserta pulang ke kampus pada jam 6.30 petang.


No comments:

Post a Comment